KUALA LUMPUR 16 Ogos – Permohonan enam buah parti untuk menjadi komponen Barisan Nasional (BN) sedang diperhalusi oleh pihak urusetia gabungan itu, kata Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir.
Beliau yang tidak menamakan parti berkenaan berkata, perkara itu adalah agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, malam tadi.
“Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN,” katanya selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia, di sini malam tadi.
Sebelum ini, Presiden Penaja Parti Bangsa Malaysia (PBM) Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, Naib Pengerusi, Dr Wee Ka Siong, S. Vigneswaran dan Arthur Joseph Kurup.
Turut hadir wakil MIC, M. Saravanan, wakil UMNO, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid serta wakil MCA , Dr Mah Hang Soon.
Sementara itu, Zambry berkata Dewan Tertinggi BN juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen, dengan Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri BN.
Selain itu, Dewan Tertinggi turut memutuskan pelantikan Hishammuddin Tun Hussein sebagai Bendahari Agung BN disambung bagi tempoh dua tahun lagi.
Hishammuddin, yang juga Ahli Parlimen Sembrong, dilantik sebagai Bendahari Agung BN pada 23 Oktober 2020 menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor.
