Covid-19 : Ivermectin tidak disyorkan

PUTRAJAYA 3 Nov. – Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana penggunaan ubat antiparasit itu didapati tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dikeluarkan susulan hasil dapatan kajian Ivermectin (I-TECH) ke atas 500 pesakit Covid-19 melibatkan kategori 2 atau 3.

Kajian klinikal open-label randomised trial tersebut menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM).

Ia berbanding dengan hanya penjagaan standard (kumpulan standard of care – SOC) yang berdasarkan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pesakit Covid-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MAEPS 2.0,.

Keputusan I-TECH juga selari dengan kajian berskala besar seperti IVERCOR-COVID19 dari Argentina dan TOGETHER dari Brazil yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Menurut penyelidik utama kajian I-TECH, Dr Steven Lim Chee Loon, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada di antara kedua-dua kumpulan tersebut.

“Kebarangkalian untuk pulih dari gejala sepenuhnya pada hari ke-5 penyertaan di antara kumpulan IVM dengan SOC adalah hampir sama, di mana tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik (p=0.77),” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.

Beliau berharap dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di Malaysia dan orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan Covid-19.

Pengamal perubatan juga diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram Ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia.

Related posts

Leave a Comment