PN mahu jumpa PM sekali lagi

KUALA TERENGGANU 15 Ogos – Perikatan Nasional (PN) sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas pertemuan 4 Ogos lalu.

Bendahari PN, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata pertemuan santai itu banyak berkisar kepada isu tertangguh antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Pada pertemuan itu, banyak isu secara luaran dan umum sahaja dibangkitkan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Ahad lalu.

Sabtu lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan PN yang diwakili Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin dan Ahmad Samsuri pada 4 Ogos lalu.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera dilaporkan berkata, kedua pemimpin itu sudah menyampaikan pandangan mereka dan beliau juga sudah sampaikan pandangannya.

Ditanya adakah perjumpaan itu menyentuh tuntutan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Samsuri menjelaskan, Perdana Menteri maklum tuntutan daripada PN walaupun tidak disebut dalam perjumpaan itu.

Related posts

Leave a Comment