KUALA LUMPUR 9 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 hari ini, mencatat sejarah dengan ‘kehadiran semula’ Anwar Ibrahim, di pentas Dewan Merdeka selepas 25 tahun dipecat daripada parti itu.
Kali terakhir Perdana Menteri berada di situ dan berucap adalah pada PAU 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Beliau dipecat daripada UMNO pada 3 September 1998 dan sejak itu, bangunan itu yang menempatkan ibu pejabat parti adalah asing baginya untuk dikunjungi.
Hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang juga Presiden PKR itu hadir ke PAU 2023, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai tetamu kehormat, dan juga Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.
Anwar yang berbaju Melayu berwarna biru, tiba pada pukul 9.15 pagi dan diiringi Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalannya, Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Fadillah Yusof.
Bekas Naib Presiden UMNO, Mohd Shafie Apdal yang kini Presiden Warisan turut hadir.
Pemimpin PH lain yang turut serta adalah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick.
Hadir sama, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, SA Vigneswaran.
PAU 2023 yang diadakan selama empat hari bermula Rabu lalu, dihadiri seramai 6,341 perwakilan, turut membabitkan 1,159 orang daripada sayap Wanita, Pemuda (1,160) dan Puteri (1,134).
(Foto Ahmad Maslan)
