Rajapaksa tiba di Thailand

BANGKOK 12 Ogos – Bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri susulan protes antikerajaan di negaranya bulan lalu tiba di Thailand semalam dari Singapura, negara beliau berlindung sejak pertengahan Julai lalu.

Visanya di Singapura tamat semalam.

Rajapaksa dan seorang wanita, dipercayai isterinya, dilaporkan tiba di luar balai ketibaan VIP di lapangan terbang Don Mueang di Bangkok, sebelum menaiki limosin menuju ke destinasi yang tidak diketahui.

Semalam, pegawai kerajaan Thailand memaklumkan mereka mendapat permintaan kerajaan Sri Lanka untuk membenarkan beliau memasuki negara itu dan tinggal sementara di sana.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha, berkata beliau tahu mengenai lawatan Rajapaksa dan kebenaran diberi atas dasar kemanusiaan kerana bekas presiden itu mahu mendapatkan suaka di negara ketiga.

Beliau tidak mengulas lanjut tetapi menegaskan Rajapaksa tidak akan terbabit dalam sebarang kegiatan politik sepanjang berada di Thailand.

Rajapaksa tidak membuat sebarang komen mengenai jadual perjalanannya selepas lari dari Sri Lanka bulan lalu dan menuju ke negara jiran, Maldives, menggunakan pesawat tentera Sri Lanka, seterusnya ke Singapura.

Jurucakap Kementerian Thailand, Tanee Sangrat, berkata status permohonan Rajapaksa ialah untuk ‘duduk sementara di Thailand dengan hasrat meneruskan perjalanan ke negara lain’.

Tambah beliau, tiada permohonan suaka politik dibuat dan kerana bekas presiden itu memiliki pasport diplomatik, beliau dibenarkan berada di Thailand selama 90 hari tanpa visa.

Related posts

Leave a Comment