Larangan buat pernyataan awam

PUTRAJAYA 10 Ogos – Pegawai awam tidak seharusnya bertindak balas dengan melakukan provokasi terhadap teguran orang awam, penyelia, rakan sejawat atau pegawai atasan membabitkan penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA),  Mohd Shafiq Abdullah, dalam surat edaran bertajuk, Peringatan Berkaitan Arahan Larangan Membuat Pernyataan Awam Oleh Pegawai Awam, berkata provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral, boleh disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam.

Surat bertarikh 8 Ogos itu juga menyebut, perbuatan berkenaan bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pegawai awam perlu sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada mana-mana pihak berkepentingan, termasuk pegawai atasan, dalam usaha memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

Semua pegawai awam adalah diingatkan bahawa jawatan dan kedudukan yang sedang disandang adalah amanah yang perlu dilaksanakan untuk kepentingan negara.

“Maka, seorang pegawai awam hendaklah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur, cekap dan amanah sebagai satu usaha berterusan untuk memartabatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

“Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam,” katanya.

Melalui surat edaran sama, ia menyatakan JPA sudah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) berhubung Peraturan Berkaitan Pernyataan Awam oleh Pegawai Awam sebelum ini.

Pekeliling itu dikatakan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) yang dikeluarkan pada 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan masih berkuatkuasa.

Mohd Shafiq juga menyebut, KPPA adalah antara jawatan khas yang diperuntukkan bawah Fasal 3 Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, yang mempunyai fungsi utama menjalankan tanggungjawab berkaitan penggubalan dasar berkaitan kelayakan pelantikan dan syarat perkhidmatan awam bagi anggota perkhidmatan awam yang ditakrifkan bawah Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, KPPA sebagai Pegawai Tertinggi di JPA bukan saja bertanggungjawab ke atas jabatan ini, tetapi termasuk juga ke atas Perkhidmatan Awam sebagaimana yang termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

Justeru, KPPA sudah semestinya bertanggungjawab untuk memberikan pandangan atau teguran bagi meningkatkan kualiti dan pematuhan peraturan dalam sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam di negara ini.

Surat edaran itu juga mengingatkan  pegawai awam berkelakuan baik serta tidak membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memberi implikasi kepada nama baik perkhidmatan awam dan kerajaan serta tidak menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah membabitkan pegawai awam lain hingga membelakangi tugas awam.

Pegawai awam juga, dilarang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dan kecanggihan teknologi untuk mencapai agenda peribadi sehingga melanggar peraturan dan undang-undang berkuat kuasa yang menjadi asas perkhidmatan awam negara.

JPA tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membiarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh mana-mana pihak lain yang bertujuan mencapai agenda peribadi yang tidak baik.

Related posts

Leave a Comment