GTA: Hamidah tinggalkan Putra

IPOH 10 Ogos – Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra),  Hamidah Osman, hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan parti menyertai Gabungan Tanah Air (GTA).

Beliau kecewa dengan keputusan Presiden Putra,  Ibrahim Ali, yang mahukan parti itu menyertai gabungan diterajui Pengerusi Parti Pejuang, Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan hanya retorik politik mendekati Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

“Demi prinsip dan tanda hilang kepercayaan saya kepada Presiden dan kepemimpinan Putra yang bertindak bekerjasama dengan Tun M (Mahathir), maka saya melepaskan semua jawatan saya dalam Putra serta keluar parti itu serta-merta.

“Saya tidak mampu menggalas dosa menipu orang Melayu dan tidak tergamak menggunakan slogan perjuangan Melayu demi kepentingan peribadi sama ada untuk saya, Ibrahim Ali, dan Tun M atau sesiapa sahaja,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Khamis lalu, Dr Mahathir selaku pengerusi penaja mengumumkan penubuhan GTA dengan tujuan untuk menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir dan Presiden Iman, Mohammed Mosin Abdul Razak.

“Apa yang saya lakukan ini (tinggalkan Putra) kerana prinsip dan saya tidak mahu bersekongkol dengan Tun M untuk menipu rakyat dan menjadi seorang hipokrit demi sesuatu kepentingan,” kata Hamidah.

Menurut Hamidah, akan ada yang mengatakan beliau suka melompat (parti) sana sini tetapi menjelaskan beliau melakukan semua ini kerana prinsip.

“Pesan saya kepada Tun M, cukup-cukuplah menipu orang Melayu dan rakyat Malaysia. Kami mungkin boleh ditipu sekali, atau dua kali tetapi kami tidak akan boleh ditipu berkali-kali dan saya tidak akan izinkan Tun M menipu orang Melayu sekali lagi dengan GTA ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan, Dr Mahathir tidak layak bercakap mengenai kehilangan banyaknya Tanah Rizab Melayu (TRM) serta ingin memperjuangkannya kerana TRM banyak hilang statusnya di zaman pemerintahan beliau sendiri.

Malah beliau sendiri pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 1996 pernah menghina TRM dengan membandingkannya seperti perjuangan orang Red Indian di Amerika.

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Hamidah berkata, buat masa ini beliau tidak bercadang untuk bergerak dalam mana-mana platform politik atau parti sebaliknya meneruskan perjuangan melalui badan bukan kerajaan (NGO).

Hamidah sebelum ini pernah menjawat sebagai Ketua Penerangan Wanita UMNO dipecat dari parti itu pada November 2015 atas pelanggaran disiplin dan selepas itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Naib Presiden Bersatu.

Beliau bagaimanapun bertindak keluar dari parti yang ketika itu diterajui oleh Dr Mahathir pada September 2017 sebelum mengumumkan menyertai Putra pada Ogos 2018 iaitu kira-kira dua bulan selepas PRU-14 iaitu pada Mei 2018.

Related posts

Leave a Comment