Macau arah 700,000 jalani ujian Covid-19

HONG KONG: Pihak berkuasa di Macau mengarahkan penduduk menjalankan sekurang-kurangnya dua hari ujian Covid-19 selepas seorang individu yang mengembara  ke bandar jiran, Zhuhai didapati dijangkiti virus berkenaan.

Kerajaan Macau dalam satu kenyataan berkata, semua 700,000 penduduk bandar itu perlu mengambil ujian antigen pantas semalam dan hari ini dan memuat naik keputusannya ke laman web kerajaan.

Ribuan penduduk yang tinggal berhampiran sempadan Macau ke Zhuhai dan daerah Taipa, yang terletak bersebelahan bandar Cotai mesti melakukan ujian asid nukleik rasmi.

Pihak berkuasa turut bertindak menutup bangunan pangsapuri yang diduduki individu dijangkiti dan pasar raya yang juga lokasi mereka bekerja.

Langkah itu diambil beberapa hari selepas Macau mula melonggarkan peraturan anti-Covid-19 yang ketat, termasuk penyambungan semula perjalanan ke Zhuhai tanpa kuarantin mulai 3 Ogos lalu.

Macau membuka semula perkhidmatan awam dan kemudahan hiburan, selain membenarkan semula makan di restoran berkuat kuasa 2 Ogos lalu.

Sejak pertengahan Jun Macau melaporkan sekitar 1,800 jangkitan apabila wilayah itu dilanda wabak Covid-19 terburuk yang memaksa penutupan kasino dan sebahagian besar bandar.

Lebih 90 peratus penduduk Macau telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 namun pihak berkuasa mematuhi dasar ‘sifar-Covid-19’ China untuk menghapuskan semua wabak dalam hampir apa juga kos, yang bertentangan dengan trend global untuk cuba hidup bersama virus itu.

Related posts

Leave a Comment