Teruskan jihad perangi orang tengah

SERDANG 6 Ogos –  Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu meneruskan jihad memerangi orang tengah dalam usaha mengawal kos sara hidup yang meningkat, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi di bawah kementerian.

“Langkah itu termasuk mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kempen itu dilaksanakan kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.

Katanya, sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara, kerajaan menerusi MAFI akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan membabitkan keseluruhan sektor agromakanan.

“Sebagai permulaan, subsektor padi dan beras dipilih sebagai projek rintis kementerian yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan skim itu bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

“Pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara, MAFI melalui Agrobank memperuntukkan sebanyak RM800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM).

“Berikutan sambutan memberangsangkan, kerajaan bersetuju menambah RM200 juta lagi dalam dana pembiayaan kos rendah untuk menjadikannya RM1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan kita,” katanya.

Agrobank juga katanya menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata sempena MAHA 2022, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM50 juta melalui Agrobank di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz yang menawarkan pembiayaan sebanyak RM5,000 bagi peringkat pertama dan RM10,000 bagi peringkat kedua.

“Di bawah program ini, pemohon diberikan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama dan dikenakan tiga peratus kadar keuntungan bagi bulan ketujuh dengan tempoh maksimum pembiayaan sehingga 60 bulan atau lima tahun.

“Pembiayaan ini untuk individu termasuk graduan yang ingin memulakan perniagaan mikro berasaskan makanan di rumah (home-based), membeli mesin bagi tujuan perniagaan makanan, atau pembelian motosikal bagi penghantaran makanan menerusi platform e-hailing dan seumpamanya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment