Amaran kepada kartel manipulasi harga

SERDANG 6 Ogos – Kerajaan sentiasa berusaha menangani manipulasi orang tengah dan kewujudan kartel dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.

Justeru, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi amaran terhadap mana-mana kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran produk pertanian.

“Buktinya semalam Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan amaran terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

MAHA 2022 diadakan mulai 4 hingga 14 Ogos ini menyediakan sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan termasuk 100 lot jualan ‘Farmers Market’ yang menjual hasil pertanian segar dari ladang pada harga berpatutan.

Pameran itu dijangka menarik kehadiran 100,000 pengunjung setiap hari.

Perdana Menteri berkata, beberapa langkah intervensi sudah dilaksanakan kerajaan bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.

Antaranya, membatalkan kelulusan kuota import (AP) dan melaksanakan sekatan eksport ayam..

Dalam langkah intervensi ini, kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekaligus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

Katanya, langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan yang mana hari ini bekalan ayam bukan saja berlebihan bahkan harga ayam juga lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram.

Ismail Sabri berkata,ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia, sejak tahun 2020 semakin pulih berikutan pelbagai inisiatif kerajaan.

” Di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik.

“Di bawah jawatankuasa ini, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 – 2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan yang negara kita hadapi.

“Beberapa langkah dan strategi berorentasikan perdagangan, pengeluar dan pengguna telah diperkenalkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, langkah pertama, mengurangkan kebergantungan kepada import bekalan makanan yang mencecah RM60 bilion pada tahun 2021.

Kedua, menarik pelabur asing untuk melabur dalam projek sektor agromakanan negara.

Ketiga, menggalakkan pembabitan secara agresif agensi-agensi kerajaan serta syarikat berkaita kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pihak swasta dalam agenda menjamin sekuriti makanan negara.

Keempat, mengukuhkan sinergi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan keluasan tanah untuk aktiviti pertanian dan; kelima, kerajaan komited untuk menyediakan pelbagai bantuan sama ada dalam bentuk subsidi, geran mahupun dana pembiayaan bagi membantu pengusaha dan pemain industri di sepanjang rantaian nilai.

Related posts

Leave a Comment