Kes jangkitan, kematian meningkat

BANGKOK 6 Ogos – Angka kes jangkitan dan kematian Covid-19 semalam menunjukkan sedikit peningkatan apabila merekodkan 2,381 kes baharu dan 35 orang meninggal dunia berbanding 2,253 kes dan 34 kematian pada Khamis.

Berikutan pertambahan ini, jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 4,603,359 orang dengan jumlah kematian pula 31,561 orang.

Sehingga tengah malam tadi sebanyak 21,250 pesakit mendapatkan rawatan Covid-19 termasuk 11,391 di hospital dan 9,528 di rumah atau pengasingan komuniti.

Daripada jumlah kes di hospital, sebanyak 910 dalam keadaan serius dan 471 bergantung kepada bantuan ventilator manakala 2,209 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 4,550,548 orang pulih.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) melaporkan sebanyak 141.81 juta dos didaftarkan di mana 82.2 peratus penduduk telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos, 77.0 peratus dua dos dan 44.7 peratus sekurang-kurangnya satu dos penggalak.

Semalam sebanyak 52,095 dos vaksin didaftarkan iaitu 5,444 dos pertama dan 10,303 dos kedua serta 36,348 dos penggalak.

Related posts

Leave a Comment