Nancy Pelosi tetap lawat Taiwan

TAIPEI 2 Ogos – Walaupun diberi kata dua oleh China, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi meneruskan perjalanan ke Taiwan dan tiba di Lapangan Terbang Taipei Songshan kira-kira 10.44 malam waktu tempatan.

Ketibaan Pelosi selepas mengunjungi Malaysia pada Selasa disambut oleh Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu.

Kunjungan itu menjadikan Pelosi ahli politik AS berpangkat tinggi pertama yang melawat Taiwan untuk tempoh 25 tahun. Kali terakhir ahli politik AS melawat Taiwan ialah ketika kunjungan Newt Gingrich dari Republikan pada tahun 1997.

Beijing sebelum ini telah menghantar mesej menggesa ahli parlimen AS itu membatalkan lawatannya, yang tidak termasuk dalam aturcara lawatan rasminya ke empat negara Asia.

Pelosi melawat Singapura pada Isnin, sebelum berkunjung ke Malaysia dan dijadual melawat Korea Selatan dan Jepun.

Kunjungan Pelosi itu menjadikan beliau ahli politik AS berpangkat tinggi pertama yang melawat Taiwan untuk tempoh 25 tahun.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Tsai Ing-wen dan ahli politik Taiwan.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian “wilayahnya yang terpisah.”

Beijing telah memberi amaran bahawa tenteranya “tidak akan berdiam diri” jika “kedaulatan dan integriti wilayahnya” terancam dan Washington perlu bertanggungjawab terhadap sebarang tindak balas yang mungkin diambil China.

China dikatakan telah mengadakan beberapa sesi latihan ketenteraan berhampiran Taiwan sejak spekulasi mengenai lawatan itu timbul.

Minggu lalu, Presiden China Xi Jinping memberitahu rakan sejawatannya dari AS Joe Biden “jangan bermain api” berhubung isu Taiwan.

Related posts

Leave a Comment