MAHA 2022 bermula 4 Ogos

SERDANG 3 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 kembali menemui orang ramai mulai esok, 4 hingga 14 Ogos ini dengan bertemakan Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan.

Kali terakhir MAHA diadakan pada tahun 2018 dan penganjuran berikutnya sepatutnya pada 2020 tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan, ia tidak dapat dianjurkan.

Kali ini MAHA memberikan fokus kepada seperti Agro Trade iaitu membabitkan aktiviti perniagaan dan padanan perniagaan.

Pada masa sama MAHA turut mempromosi produk tempatan dan antarabangsa serta Agro Edutainment  selain memberi kesedaran mengenai kepentingan sektor agromakanan dalam menjamin sumber bekalan makanan negara.

Selain itu, ia merangkumi Agro Lifestyle bagi mempamerkan gaya hidup keluarga agro serta aktiviti nilai tambah di sepanjang rantaian nilai agromakanan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pameran itu pada 6 Ogos ini.

Sebanyak 1,500 ruang pameran dan jualan akan disediakan mengikut segmen termasuk pameran oleh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan korporat, seminar dan konvensyen agromakanan selain pengoperasian laman-laman dan rumah negeri.

MAHA 2022 selain memberi penekanan kepada acara perdagangan dan perniagaan akan diselitkan juga dengan Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) melalui aktiviti pameran hasil dan produk pertanian oleh peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani.

Pameran pertanian terbesar dan berprestij itu bakal menampilkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian bersandarkan kepada teknologi terkini, inovasi tempatan dan luar negara, strategi pemasaran dan pengeluaran secara efektif serta pendekatan lain yang mampu membantu sektor itu.

Penganjurannya akan menjadi indikator utama dalam usaha kerajaan melalui kementeriannya memacu pemulihan sektor pertanian dan agromakanan negara selain membantu usahawan tani untuk pulih dan menjamin sekuriti makanan negara.

MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan masuk adalah percuma.

Related posts

Leave a Comment