1.76 juta kanak-kanak ambil vaksin

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Seramai 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, setakat semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, berkata peratusan itu masih rendah berbanding jumlah kemudahan vaksin dan daripada jumlah itu, seramai 1.5 juta kanak-kanak atau 42.3 peratus lengkap menerima dua dos vaksin.

“Sudah hampir enam bulan kita lancar program vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak. Kakitangan buat kerja bagus, sambutan dan kerjasama kerajaan negeri juga bagus, kerjasama klinik swasta juga menggalakkan. Tetapi, lengan sahaja tiada,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang), yang mahu kementerian menyatakan apakah usaha dan bajet yang sedang digerakkan bagi meningkatkan lagi kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun memandangkan kadar semasa kanak-kanak yang lengkap divaksin sangat rendah.

Dr Noor Azmi, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan usaha penerangan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka untuk mendapatkan atau melengkapkan vaksin, termasuk melalui media elektronik dan media sosial.

Sehingga kini, katanya, masih terdapat 926 premis swasta yang menyediakan kemudahan pemberian vaksin dan 14 pusat pemberian vaksin secara ‘off-site’.

Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang terlepas dos kedua vaksin mereka, ibu bapa boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat untuk membuat janji temu bagi melengkapkan vaksin anak mereka.

Sementara itu, katanya, KKM juga memperhebatkan program untuk golongan sasar mendapatkan dos penggalak kedua terutama mereka yang digalakkan untuk mendapatkannya.

Katanya, amat penting bagi golongan terbabit mengambil dos penggalak kedua kerana keberkesanan vaksin yang menurun serta kes jangkitan yang meningkat kebelakangan ini.

Related posts

Leave a Comment