11 kematian 4,860 kes baharu

PUTRAJAYA 30 Julai – Sebanyak 11 kematian akibat Covid-19 direkodkan setakat tengah malam tadi, dengan angka jangkitan harian meningkat kepada 4,860 kes berbanding 3,926 kes sehari sebelumnya.

Daripada jumlah kematian itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu enam kematian termasuk satu daripadanya kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), diikuti Johor dan Kedah masing-masing dua kes serta satu lagi di Sabah.

Menurut laman sesawang COVIDNOW, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 4,849 kes adalah penularan tempatan dan 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dengan perkembangan ini, jumlah kumulatif kes penularan wabak Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,672,999 kes termasuk 37,915 jangkitan dari luar negara.

Sementara itu, jumlah keseluruhan angka kematian akibat jangkitan Covid-19 adalah 35,956 kes dan daripada jumlah itu sebanyak 7,637 adalah kes BID.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 48,300 kes aktif di mana sebanyak 95.9 peratus atau 46,334 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selebihnya iaitu 3.9 peratus bersamaan 1,883 kes masih dirawat di hospital, 23 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), selain 60 pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat tengah malam tadi, sebanyak 3,836 kes sembuh dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah individu pulih daripada jangkitan berkenaan adalah sebanyak 4,588,743 kes.

Mengenai kadar penggunaan ICU bagi rawatan Covid-19 di seluruh negara,  sehingga kini ia adalah sebanyak 64.3 peratus, sementara kadar penggunaan keseluruhannya 69.2 peratus.

Di Kedah, penggunaan katil ICU adalah yang tertinggi iaitu 81.6 peratus; diikuti Johor (75 peratus), Selangor (73.8 peratus), Lembah Klang (72 peratus), Labuan (71.4 peratus), Putrajaya (70 peratus) dan Kelantan (69.6 peratus).

Ini diikuti Kuala Lumpur 67.4 peratus; Perak (66.3 peratus), Negeri Sembilan (65.3 peratus), Sabah (63.8 peratus), Melaka (58.5 peratus), Pahang (55.4 peratus), Perlis (52.6 peratus), Pulau Pinang (53.5 peratus), Sarawak (47.9 peratus) dan Terengganu (47.6 peratus).

Related posts

Leave a Comment