Perkeso sedia 55,000 peluang kerja

KUALA LUMPUR 29 Julai – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan 55,000 peluang pekerjaan kepada golongan rentan melalui pelanjutan Program JaminKerja-Insentif Penggajian (JKIP) untuk tempoh enam bulan lagi, sehingga 31 Disember ini.

Ketua Eksekutifnya, Dr Mohammed Azman Aziz Mohamed, berkata sebanyak RM475 juta akan disalurkan Perkeso sebagai insentif kepada majikan yang mewujudkan peluang pekerjaan, iaitu sebahagian daripada RM2 bilion yang diperuntukkan kerajaan di bawah program itu dalam Bajet 2022.

“Lanjutan program ini akan memberikan tumpuan kepada usaha pengambilan pekerja daripada sektor pelancongan, pekerja yang menggantikan pekerja asing (program Malaysianization), orang kurang upaya (OKU), wanita dan pekerja yang kehilangan pekerjaaan.

Sasaran 55,000 peluang pekerjaan yang ditetapkan ini bagi menyokong matlamat program untuk mewujudkan 300,000 peluang pekerjaan sepanjang 2022.

Bagi tempoh lanjutan JKIP ini, syarat permohonan dan kadar insentif kepada majikan dan bantuan mobiliti kepada pekerja yang diambil, kekal seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Program JKIP yang sebelum ini ditutup pada 30 Jun lalu, adalah insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022 dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuk OKU, bekas tentera, bekas banduan, warga emas dan penganggur am.

Mohammed Azman berkata, sehingga 22 Julai lalu, jumlah penempatan pekerjaan melalui portal MyFutureJobs dan keseluruhan aktiviti penempatan pekerjaan di bawah Perkeso adalah sebanyak 115,483 pekerjaan, yang diisi dalam kalangan golongan rentan dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

Mengenai isu ketidakpadanan permintaan dan penawaran pekerjaan, Mohammed Azman memaklumkan, Perkeso bekerjasama rapat dengan semua pemegang taruh termasuk kementerian dan pembuat dasar bagi mengatasi masalah itu.

Beliau menjelaskan, kebanyakan tawaran pekerjaan bukan di bawah kategori yang memerlukan kelayakan yang tinggi iaitu sijil atau diploma ke atas, sebaliknya bagi lepasan sekolah saja.

Related posts

Leave a Comment