Lega, lucu tetapi menyenangkan

PETALING JAYA 29 Julai – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim lega dengan kelulusan Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti yang mendapat sokongan 209 undi termasuk daripada Ahli Parlimen yang melompat parti.

“Saya bersyukur kerana persefahaman menetapkan mesti ada usaha meluluskan RUU anti-lompat parti atau dengan istilah yang lebih tepat, iaitu anti khianat, belot, menipu rakyat.

“Tapi yang melucukan semalam, daripada 209 undi termasuk pendirian PH tersebut, orang-orang yang bersekongkol dalam pengkhianatan dan katak-katak, orang yang dianggap melompat parti pun turut mengundi, jadikan suatu perkara yang agak lucu tetapi menyenangkan,” katanya di Facebook.

Beliau menyifatkan kelulusan itu sebagai kemenangan kepada rakyat dan berharap langkah itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat selepas mandat mereka dikhianati katak-katak politik.

Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan RUU anti-lompat parti melalui undi belah bahagi selepas bacaan ketiga.

RUU itu diluluskan selepas perbahasan selama dua hari membabitkan 54 Ahli Parlimen.

Related posts

Leave a Comment