RUU: Pulau Pinang panggil sidang khas

TANJONG 29 Julai – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi meminda perlembagaan negeri itu berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada September ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata penasihat undang-undang negeri telah diarahkan meneliti RUU berkenaan di peringkat persekutuan bagi membolehkan ia dikuatkuasakan di negeri ini.

Menurutnya, walaupun usul yang diluluskan di peringkat Parlimen sedikit berbeza dengan usul yang dibuat di peringkat DUN, pihaknya akan cuba selarikannya dengan pihak persekutuan.

“Di Pulau Pinang kita sudah pun ada usul sedemikian (RUU Anti Lompat Parti), namun ia berbeza dengan apa yang diluluskan oleh Parlimen.

Justeru, bagi mencapai hasrat meminda perlembagaan negeri, saya telah beri arahan kepada penasihat undang-undang negeri untuk melihat RUU di peringkat persekutuan, seterusnya akan selarikan peruntukan dengan perlembagaan negeri ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau berharap tindakan sama juga dapat diambil negeri-negeri lain untuk menyeragamkan perlembagaan negeri masing-masing berhubung RUU Anti Lompat Parti terbabit.

“Ini kerana sekiranya mana-mana negeri tidak meminda perlembagaan negeri mengikut perlembagaan persekutuan maka undang-undang itu tidak akan terpakai di peringkat negeri,” katanya.

Pada 2012, DUN Pulau Pinang telah meluluskan RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi menyekat wakil rakyat daripada melompat parti untuk keuntungan peribadi.

Mengikut Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu mana-mana ADUN yang berhenti menjadi ahli parti diwakili semasa pilihan raya perlu mengosongkan kerusinya.

Related posts

Leave a Comment