Dipecat tidak wajar hilang kerusi

SERI KEMBANGAN 28 Julai – Ahli Parlimen yang dipecat atau disingkir daripada parti tidak wajar digugurkan daripada kerusinya di Dewan Rakyat, kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang),  Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini kerana pemecatan seseorang Ahli Parlimen daripada parti bukan atas pilihan mereka tetapi ia adalah tindakan parti berkenaan.

“Ada banyak cara yang perlu kita tentukan ahli itu disingkir daripada parti, apakah itu juga menyebabkan dia hilang kerusi, tetapi (pemecatan itu) bukan pilihan dia, parti buang dia, maka dia tidak hilang kerusi (Parlimen).

“Itu juga harus diambil kira kerana kalau dia diberi pilihan, dia akan kekal dengan parti yang mana dia sokong semasa pilihan raya tetapi di pihak parti, kerana sebab-sebab tertentu, mengeluarkan dia daripada parti (pecat).

“Ini bukan pilihan dia, sebab itu dia masih (wajar) kekal sebagai wakil rakyat dan dia berhak untuk menjadi wakil rakyat bebas atau sertai parti lain,” katanya pada program Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 di Dewan Rakyat yang berkata DAP sedia meminda perlembagaannya jika mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti dianggap sebagai lompat parti dan digugurkan daripada kerusinya.

Loke (PH-Seremban) berkata, jaminan itu disuarakan jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberi jaminan boleh melaksanakannya.

Dalam perkara ‘Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi ahli dewan itu akibat pemecatan oleh parti politiknya’, Loke berpendapat dalam konteks tertentu, pemecatan itu boleh dianggap sebagai lompat parti jika seorang Ahli Dewan Rakyat mengambil keputusan melanggar keputusan partinya, dia boleh dipecat dan dia perlu mengosongkan kerusinya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, Pejuang berpendirian untuk tidak bersetuju dengan wakil rakyat dipilih oleh rakyat, namun tiba-tiba meninggalkan partinya untuk mendapat satu tempat dalam parti lain.

“Dorongan mereka ialah jawatan dan gaji, bukan khidmat untuk rakyat, itu kita tolak. Sebab itu kita tidak suka kepada lompat-melompat ini kerana dia boleh menidakkan hak rakyat memilih kerajaan.

“Dalam sistem demokrasi, rakyat memilih kerajaan yang menepati kehendak mereka tetapi apabila kerajaan yang dipilih rakyat dijatuhkan oleh yang tidak dipilih, maka kehendak rakyat terbatal. Mereka tidak capai matlamat mereka dan ini tidak demokratik.

“Ini bertentangan dengan kehendak rakyat kerana mereka memberi sokongan dengan kepercayaan bahawa orang ini akan tunaikan janji mereka semasa pilihan raya umpamanya,” katanya.

Beliau berkata, namun tidak dinafikan ada keperluan untuk pihak tertentu melakukan tindakan melompat parti.

“Umpama sekarang ini di kebanyakan negara demokratik, mereka mempunyai dua parti sahaja, dengan itu satu parti boleh menang, satu boleh kalah. Tetapi apabila kita ada lima, enam parti, tidak ada satu parti pun yang boleh dapat cukup bilangan untuk dirikan kerajaan.

“Mereka dapat 30 peratus atau 20 peratus, dalam keadaan itu, kita boleh tentukan kerajaan kalau ada gabungan antara parti.

“Kalau parti itu pilih untuk bersama parti lain supaya dapat bilangan yang cukup, itu bukan lompat, kerana itu keputusan parti, bukan keputusan individu kerana duit, itu boleh dibenarkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment