PN kecewa PM tidak bersungguh

KUALA LUMPUR 28 Julai – Perikatan Nasional (PN) kecewa dengan Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian di antara gabungan itu dengan Perdana Menteri.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam tadi yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu.

Mesyuarat dihadiri presiden semua parti komponen PN, iaitu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Dr Jeffrey Kitingan; Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee; Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau dan ahli-ahli MT gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung PN,  Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun tidak memperincikan terma-terma penting yang dimaksudkan.

Mesyuarat melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Perdana Menteri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan Perikatan Nasional.

“Sehubungan itu, Perikatan Nasional memutuskan untuk menghantar delegasi menemui Perdana Menteri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat,” katanya.

Dipercayai, antara terma perjanjian itu termasuk isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada 2 Julai lalu, Muhyiddin mengesahkan bertemu Ismail Sabri bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk jawatan TPM, selain beberapa perkara penting berlandaskan kandungan perjanjian di antara PN dan Perdana Menteri.

Pelantikan Naib Presiden UMNO itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin pada Ogos 2021 mendapat sokongan PN.

Related posts

Leave a Comment