15.6 % remaja guna produk tembakau

PUTRAJAYA 28 Julai – Sebanyak 15.6 peratus daripada remaja berusia 15 hingga 19 tahun di Malaysia menggunakan produk tembakau, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah.

Katanya, data itu diperoleh berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2019 di mana dapatan itu menunjukkan 11.6 peratus dalam kalangan usia itu adalah perokok aktif dan 7.5 peratus lagi menggunakan vape atau e-rokok.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 15.6 peratus daripada semua remaja di Malaysia berumur 15 hingga 19 tahun menggunakan produk tembakau,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menyeru sokongan masyarakat terhadap usaha kerajaan melaksanakan dalam mewujudkan generasi bebas daripada sebarang amalan pengambilan tembakau termasuk rokok dan vape.

“Berilah sokongan penuh kepada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan akta untuk mengharamkan rokok, vape dan semua alat merokok kepada generasi yang lahir selepas 2007.

“Ibu bapa yang prihatin, bukan perokok dan pesakit yang mengalami kesan buruk merokok mestilah menyuarakan sokongan anda.

“Tag Ahli Parlimen anda di media sosial, hubungi mereka atau hantarlah e-mel.

“Anda boleh melakukan perubahan dan menjadi sebahagian daripada sejarah negara bagi memastikan kesejahteraan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 itu dibentangkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Rakyat, semalam.

RUU berkenaan memperuntukkan larangan merokok produk tembakau atau pengganti bahan itu serta penggunaan peranti merokok kepada individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

Bacaan kedua RUU berkenaan dijangka dibentangkan minggu hadapan

Related posts

Leave a Comment