Melayu bergantung kepada bukan Melayu

SERI KEMBANGAN 28 Julai  – Parti politik Melayu terpaksa bergantung dengan undi bukan Melayu untuk menang dan membentuk kerajaan yang akhirnya menyukarkan usaha menjayakan agenda Melayu.

Bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad berkata, situasi ini berlaku disebabkan kewujudan banyak parti politik berteraskan bangsa Melayu.

“Ini yang menjejaskan untuk melaksanakan apa yang orang Melayu mahukan.

Kalau 70 peratus (orang Melayu) sokong satu parti, kita kuat. Sekarang ini, nak dapat dapat 30 peratus sokongan (pengundi Melayu) pun susah.

“Kita bergantung kepada undi bukan Melayu sehingga terpaksa akur kepada kehendak mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengakui, bukan Melayu juga mempunyai kuasa politik di negara ini dan

politik di negara ini juga tidak boleh dipisahkan daripada isu perkauman.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Pejuang berkata, ia adalah realiti masyarakat negara ini, yang akan memilih wakil rakyat berasaskan kaum bagi mewakili mereka.

“Di Malaysia, perkauman atau isu kaum memainkan peranan yang besar dalam politik. Rakyat memilih wakil rakyat berdasarkan kaum bagi mewakili mereka.

“Perkauman di Malaysia tidak boleh diketepikan orang politik jika ingin menang. Sebab itu, kita tidak boleh bentuk kerajaan yang kuat.

“Malah, yang hendak jadi kerajaan pun bukan jujur, nak curi duit, namun masih ada yang sokong, sebab itu kita lemah dan berpecah,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Pejuang bertujuan menghapuskan sikap kegilaan orang Melayu yang hanya memberi sokongan kepada parti pilihan mereka tanpa mempedulikan latar belakang pemimpin yang disokong.

Katanya, sistem parti tidak dinafikan adalah langkah penting untuk mendapat sokongan, namun usaha untuk menolak pemimpin yang melakukan salah laku, dilihat tidak begitu keras dilakukan di negara ini.

“Di Malaysia, kita tak peduli tentang apa yang diperjuangkan asalkan itu adalah parti kita. Ini yang menyebabkan parti memecahbelahkan orang Melayu.

“Kita pegang kepada parti sehingga kita tidak ambil kira lagi apa yang dilakukan oleh parti,” katanya.

Ditanya berhubung langkah supaya pembangkang menyuarakan dengan keras di Dewan Rakyat supaya pemimpin yang melakukan rasuah ditangkap dan disumbat ke penjara, Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, semua itu perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang bagi mengelak seseorang dizalimi.

“Kita patuh kepada rules of law (keluhuran undang-undang). Jadi, kalau kita nak tangkap orang walaupun kita ada SOSMA, yang mana kita boleh tangkap orang tanpa dibicarakan, boleh jatuh hukuman, boleh masuk dalam tahanan, itu satu tindakan yang zalim.

“Itu kita tak nak, sepatutnya ada perbicaraan secara tertib dengan diwakili oleh peguam dan sebagainya.

“Kita nak apa juga kesalahan yang dilakukan mesti dihukum melalui mahkamah. Tetapi, kalau kita ambil tindakan tangkap saja, akan berlakulah keadaan yang mana orang yang salah itu menangkap orang yang tak salah.

“Jadi, kita tak capai matlamat kita kerana belum tentu orang yang salah itu ada bukti kesalahan dia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment