Jadikan UniPSAS universiti tersohor

KUANTAN 26 Julai – Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) hendaklah menjadi teladan sebagai sebuah universiti Islam yang ditadbir dengan cekap, telus dan berintegriti.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah UniPSAS juga perlu terus meneroka bidang pengajian baharu serta menjalin hubungan strategik dengan universiti lain termasuk di luar negara.

Justeru, baginda menzahirkan harapan agar UniPSAS akan terus menempa nama menjadi universiti Islam tersohor dan melahirkan graduan berkualiti untuk menjadi pelapis golongan alim ulama.

Baginda yakin menerusi pemasyhuran ini, UniPSAS akan lebih dikenali dan menjadi universiti berwibawa dalam pengajian agama serta menjadi pilihan utama anak muda menyambung pengajian terutamanya daripada lepasan sekolah menengah agama.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UniPSAS di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, anakanda Seri Paduka iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah juga mengurniakan watikah pelantikan sebagai Canselor UniPSAS kepada Tengku Hassanal dan Tengku Amir Nasser sebagai Pro-Canselor II manakala Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail,  sebagai Pro-Canselor I universiti berkenaan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menerusi Titah Diraja juga berkongsi bahawa UniPSAS ‘sangat dekat’ di hati kerana penubuhan dan pembangunannya sangat sinonim serta berkait rapat dengan Almarhum Ayahanda Seri Paduka iaitu Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang sentiasa prihatin dengan pembangunan institusi pendidikan itu.

“Beta telah menunaikan impian Almarhum (Sultan Ahmad Shah) untuk membangunkan sebuah kolej Islam di Pahang menjadi universiti Islam. Beta ingin berpesan kepada Canselor dan seluruh pimpinan serta ahli pengarah untuk terus bekerja memajukan UniPSAS agar namanya terus tersohor sebagai universiti Islam terunggul di negara ini,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa syukur dengan penubuhan Akademi Hadis UniPSAS untuk membudayakan budaya hadis dalam masyarakat serta Institusi Jawi yang bertujuan memperkasakan tulisan Jawi, dengan kedua-duanya adalah cetusan idea baginda.

UniPSAS bermula pada tahun 1996 dengan kumpulan pertama seramai 67 pelajar sebelum dikenali sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) pada November 2000 dan dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada 20 Okt 2015.

KUIPSAS dinaik taraf secara rasminya sebagai UniPSAS pada 1 Disember 2021 yang menjadikannya sebagai universiti penuh pertama milik kerajaan negeri Pahang, dengan menawarkan pengajian daripada peringkat diploma hingga doktor falsafah.

Related posts

Leave a Comment