Hartanah TH di London beri kelebihan

KUALA LUMPUR 23 Julai – Pembelian bangunan pejabat enam tingkat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di London dijangka memberi pulangan yang stabil membabitkan purata pulangan atas tunai dianggarkan sebanyak lima peratus setiap tahun.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Amrin Awaluddin, dalam satu kenyataan berkata ia sekali gus melindungi kepentingan serta memberi nilai tambah kepada pendepositnya.

Pembelian yang dimuktamadkan pada 12 Julai lalu melibatkan hartanah yang terletak di kawasan strategik di tengah kota London, berstatus pemilikan kekal dan disewa Kementerian Pengangkutan UK untuk tempoh lebih 11 tahun.

Justeru, beliau berkata, pembelian hartanah itu banyak memberi kelebihan dari segi kontrak sewaan yang panjang tidak boleh batal dan kadar sewaan yang meningkat setiap tahun, sekali gus menjangkakan nilai hartanah itu akan terus meningkat.

“Nilai hartanah itu turut dijangka terus meningkat disebabkan kadar sewa meningkat setiap tahun, lokasi yang strategik dan permintaan yang melebihi bekalan untuk aset berprofil tinggi di bandar raya London yang juga pusat kewangan terbesar serta antara destinasi pelaburan hartanah utama dunia.

TH juga tidak perlu mengeluarkan modal kos penyelenggaraan bangunan memandangkan segala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa iaitu Kementerian Pengangkutan UK,” katanya.

Menerusi anak syarikat juga TH akan melaksanakan pembiayaan semula bagi mengurangkan modal tunai ke atas hartanah itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, UK juga diberi kedudukan tertinggi dalam Global Real Estate Transparency Index, 2022 sebagai negara paling telus dalam hartanah yang menarik ramai pelabur asing seluruh dunia.

Sementara itu, Amrin berkata, bangunan pejabat setinggi enam tingkat dan berkeluasan 179,869 meter persegi yang dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria itu dibeli di bawah nilai pasaran berdasarkan penilaian jurunilai profesional bebas.

“Bangunan itu yang menempatkan Kementerian Pengangkutan UK di kota raya London bernilai £247.5 juta (kira-kira RM1.3 bilion) pada 12 Julai lalu dibeli bawah nilai pasaran.

“Hartanah itu dibeli di bawah nilai pasaran semasa £250 juta berdasarkan penilaian oleh dua jurunilai profesional bebas, CBRE dan Colliers,” katanya.

Amrin berkata, pelaburan itu adalah penyusunan semula portfolio hartanah TH membabitkan hasil penjualan hartanah sedia ada digunakan untuk pelaburan baharu yang memberi pulangan lebih baik.

Related posts

Leave a Comment