Cacar monyet darurat kesihatan global

GENEVA 23 Julai – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengisytiharkan penularan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global iaitu amaran tahap tertinggi, kata Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Pengisytiharan itu dibuat hasil mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO mengenai virus itu yang diadakan bagi mengkaji keadaan yang dilihat semakin serius.

“Saya sudah memutuskan bahawa penularan cacar monyet global melambangkan darurat kesihatan sejagat yang berpotensi mencetuskan kebimbangan peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media malam ini (waktu Malaysia).

Katanya, pada 23 Jun lalu ketika WHO menubuhkan sebuah jawatankuasa kecemasan (EC) berkaitan cacar monyet, sebanyak 3,040 kes dilaporkan kepada WHO dari 47 negara.

“Sejak itu, penularan tersebut sudah merebak dan kini terdapat lebih 16,000 kes dilaporkan dari 75 negara serta wilayah dan lima kematian.”, katanya.

WHO menubuhkan EC yang terdiri daripada para pakar bagi memutuskan sama ada cacar monyet menunjukkan ciri-ciri yang boleh menggolongkannya sebagai Kecemasan Kesihatan Global yang berpotensi mencetuskan kebimbangan peringkat antarabangsa atau PHEIC iaitu tahap amaran tertinggi agensi kesihatan PBB itu.

Bagaimanapun, majoriti anggota jawatankuasa itu menasihati Dr Tedros bahawa keadaan pada ketika itu belum mencapai ambang tahap amaran tersebut.

Mesyuarat kedua diadakan pada Khamis lalu dengan jumlah kes jangkitan semakin meningkat, dengan Dr Tedros meluahkan kebimbangannya.

“Saya memerlukan nasihat anda untuk menilai implikasi kesihatan awam pada jangka segera dan pertengahan,” Dr Tedros memberitahu mesyuarat itu yang diadakan selama lebih enam jam.

Bagaimanapun, seorang pakar kesihatan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tegas pada Jumaat.

“Sejak EC #cacarmonyet hanya beberapa minggu lalu, kami sudah menyaksikan kenaikan tinggi pada jumlah kes. Tidak dapat dielakkan bahawa kes akan meningkat secara mendadak dalam masa beberapa minggu dan beberapa bulan akan datang. Itulah sebabnya @DrTedros perlu mengisytiharkan kecemasan global,” kata Lawrence Gostin, Pengarah Pusat Kolaborasi WHO mengenai Undang-Undang Kesihatan Nasional dan Global, di Twitter.

“Kegagalan untuk bertindak akan membawa padah buruk kepada kesihatan global,” beliau memberi amaran.

Related posts

Leave a Comment