Amanah mahu anak tempatan calon PRK

JOHOR BAHRU 8 Ogos – Parti Amanah Johor mahu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, dipilih dalam kalangan anak tempatan yang berasal dari negeri itu.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata hasrat Amanah Johor itu sudah disampaikan kepada pucuk pimpinan pusat dan akan menyenaraikan kepemimpinan negeri untuk menjadi calon PRK nanti.

Katanya, kedua-dua kerusi berkenaan tidak boleh dianggap kerusi selamat kerana suasana dan situasi politik semasa ketika ini sudah berbeza berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Namun, jika pucuk pimpinan parti buat keputusan lain itu kita akan ambil maklum,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Amanah Johor, di Ibu Pejabat Negeri, di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, pada 9 September berikutan kematian penyandangnya  Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Ditanya ura-ura Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, hangat diperkatakan mungkin diturunkan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon di Parlimen Pulai, Aminolhuda yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor berkata, ketika ini senarai nama calon masih di peringkat awal dengan senarai nama sedang giat dilakukan.

“Itu juga terpulang kepada pucuk pimpinan sebab keputusannya mereka yang akan tentukan. Namun kita di peringkat negeri sudah nyatakan pandangan bahawa calon PRK perlulah anak tempatan dan orang Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, kawasan Parlimen Pulai dan juga Parlimen Bakri yang menaungi DUN Simpang Jeram, sudah diarahkan untuk menyerahkan senarai nama calon PRK sebelum minggu depan.

Katanya, hanya kawasan Parlimen Pulai sudah menyerahkan senarai calon setakat ini.

Beliau menjangkakan akan menerima senarai calon minggu depan dan akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat kedua sebelum ia diserahkan kepada Pusat.

Related posts

Leave a Comment