Peluang 2,000 tonton Mat Kilau di Kelantan

KOTA BHARU 21 Julai – Seramai 2,000 penonton bertuah akan menyaksikan tayangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan secara percuma pada 24 Julai (Sabtu) ini, sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan.

Filem biografi epik yang sarat dengan mesej patriotisme itu akan dipertontonkan kepada rakyat Kelantan yang bertuah pada 8 malam, bertempat di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor di sini.

Menurut laporan Bernama, penyelaras program bagi tayangan filem tersebut, Ahmad Termizi Musa berkata tiket percuma itu akan diedarkan kepada rakyat yang bertuah melalui wakil yang dilantik oleh pihaknya di setiap jajahan di negeri ini.

Beliau berkata Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang tidak mempunyai pawagam namun sempena Jelajah AKM kali ini, pihaknya berusaha menonjolkan suasana umpama berada di dalam pawagam dengan memberi keselesaan dan pastinya kenangan yang cukup bermakna kepada penonton yang hadir.

“Selain itu, tayangan filem Mat Kilau ini juga adalah antara usaha kita untuk mempromosikan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” katanya.

Jelajah AKM Kelantan yang berlangsung 22 hingga 24 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, menyediakan pelbagai acara menarik seperti Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, gerai pameran agensi dan kementerian, persembahan tradisional, bekwoh (kenduri), persembahan kebudayaan dan pertandingan Muay Thai.

Related posts

Leave a Comment