Kes jangkitan harian hampiri 4,000

PUTRAJAYA 14 Julai – Hampir mencecah 4,000 kes apabila Malaysia semalam merekodkan 3,934 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 4,604,670 kes.

Menerusi laman web COVIDNOW, jumlah kes baharu itu membabitkan 3,927 kes penularan tempatan dengan tujuh lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan hingga kini terdapat 36,894 kes masih aktif. dan daripada jumlah itu, 96.3 peratus atau 35,547 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta 26 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Sebanyak 1,268 kes atau 3.4 peratus sedang dirawat di hospital manakala 23 individu (0.1 peratus) di unit rawatan rapi (ICU) dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan serta 30 individu lagi di ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kadar penggunaan ICU di seluruh negara kini berada paras 60.6 peratus dan terdapat lapan negeri yang merekodkan kadar penggunaan ICU melebihi 60 peratus.

Negeri paling tinggi dengan penggunaan ICU ialah Kelantan dengan 79.7 peratus, disusuli Selangor (77.2 peratus), Kedah (74.7 peratus), Putrajaya (70 peratus), masing-masing 65.2 peratus di Sabah dan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (61.2 peratus) dan Johor (60.3 peratus).

Terdapat sembilan kematian dilaporkan di negara ini menjadikan jumlah angka korban akibat jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 35,828 kes.

Angka korban itu termasuk dua kes yang meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).

Turut dilaporkan ialah 2,747 kes sembuh di negara ini, menjadikan sehingga kini jumlah kes sembuh meningkat kepada 4,531,948 kes.

Sementara itu Selangor mendahului kes harian dengan mencatatkan 1,321 kes berbanding 650 kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 1,402,778.

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 1,260 berbanding 707 kelmarin, Sabah 241 (177), Perak 207 (172), Negeri Sembilan 174 (122), Pulau Pinang 161 (97), Wilayah Persekutuan Putrajaya 111 (86) dan Melaka 110 (61).

Di bawah 100 kes adalah Kedah 79 berbanding 46 kelmarin, Pahang 72 (45), Sarawak 56 (49), Johor 51 (83), Terengganu 33 (18), Kelantan 29 (25), Wilayah Persekutuan Labuan 15 (4) dan Perlis 14 (3).

Related posts

Leave a Comment