Bukan masa ‘buang’ pelitup muka

WELLINGTON 14 Julai – New Zealand mengumumkan pemberian percuma pelitup muka dan kit ujian pantas (RTK) antigen bagi membendung penularan Covid-19 dan mengurangkan tekanan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 dan influenza.

Menteri Kesihatan Bersekutu, Ayesha Verrall berkata, sekarang bukan masa untuk berhenti memakai pelitup muka.

“Memakai pelitup muka sudah terbukti dapat membantu melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19, influenza dan penyakit musim sejuk yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat lonjakan ketara dalam jumlah kes Covid-19 baharu di New Zealand beberapa minggu lalu dan pihak berkuasa meramalkan bahawa gelombang Covid-19 varian Omicron lebih teruk daripada sebelumnya.

Sistem hospital awam sudah bergelut dengan peningkatan masa menunggu pesakit dan pembedahan terpaksa dibatalkan.

Katanya, gabungan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kemasukan ke hospital sekali gus menjadikan musim selesema yang paling teruk setakat ini.

“Ia juga meletakkan tekanan kepada petugas kesihatan dan sistem kesihatan keseluruhannya,” katanya.

Dengan populasi 5.1 juta penduduk, New Zealand merekodkan 11,382 kes baharu Covid-19 , dengan jumlah keseluruhan 68,737 kes dijangkiti virus itu dan 765 kes dirawat di hospital.

Sebelum ini New Zealand antara negara yang mendapat pujian dalam mengawal penularan Covid-19 sekali gus sebahagian besar negara itu bebas Covid-19 hingga akhir tahun lalu.

Kerajaan negara itu bagaimanapun menamatkan dasar sifar-Covid-19 awal tahun ini sebaik sahaja penduduk sebahagian besarnya sudah lengkap divaksin.

Verrall berkata, walaupun demikian orang ramai masih digalakkan memakai pelitup muka, menjalani ujian RTK kendiri dan mengasingkan serta melakukan kuarantin jika ada ahli keluarga atau saudara disahkan positif virus itu.

Beliau juga berkata, kerajaan menyediakan pelitup muka dan kit RTK percuma dengan lebih meluas, membenarkan farmasi menjual ubat Covid-19 dan memperluaskan kriteria untuk siapa yang layak untuk ubat antivirus.

Related posts

Leave a Comment