RUU larang lompat parti dibentang Isnin

KUALA LUMPUR 14 Julai – Kabinet meluluskan draf Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pembentangan dan perbahasan RUU itu akan diteruskan dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mengikut garis masa seperti dirancang.

Katanya, pemakluman mengenai draf Rang Undang-Undang ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam berjalan lancar melalui suatu Nota Jemaah Menteri dan tiada persoalan dibangkitkan serta Nota itu dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, surat rasmi sudah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun bagi mendapatkan kelulusan untuk RUU itu dan draf penyata (laporan) Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dibentangkan di meja Ahli Dewan Rakyat pada 18 Julai ini sebagai rujukan dan penelitian awal.

Katanya, ini dibuat selaras Peraturan Mesyuarat 60 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk bacaan kali kedua draf RUU itu diadakan pada 27 dan 28 Julai, tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Wan Junaidi turut memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti telah memuktamadkan pindaan kecil dalam draf penyata pada Selasa (12 Julai) dan mengesahkan draf penyata berkenaan.

Related posts

Leave a Comment