Amaran peningkatan jangkitan baharu

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) mengeluarkan amaran peningkatan jumlah kes Covid-19 yang disebabkan subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron, yang mudah berjangkit walaupun kes keseluruhan menurun di benua itu.

Pengarah PAHO, Dr Carissa Etienne memberi amaran, subvarian Omicron yang kini dominan di Amerika Syarikat dan negara lain menyebabkan jangkitan baharu Covid-19 di seluruh benua Amerika.

“Kemunculan BA.4 dan BA.5 adalah satu lagi peringatan yang virus COVID-19 itu terus berkembang setiap kali ia berjangkit dan kita mesti terus berwaspada,” kata Etienne.

Terdapat 1,562,967 kes Covid-19 baharu minggu lalu, menurun 0.9 peratus, manakala jumlah kematian menunjukkan penurunan 3.5 peratus kepada 4,789 kes.

Etienne menggesa negara di benua Amerika memperkenalkan semula langkah kesihatan awam seperti penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial apabila kes meningkat.

“Virus ini tidak mengenal sempadan, terutama kini perjalanan antarabangsa sudah dibuka semula. Kita mesti sentiasa melindungi diri kita terutama mereka yang paling terdedah kepada penyakit teruk dan kematian,” katanya.

Berbanding minggu sebelumnya, kes Covid-19 meningkat dua peratus di Amerika Selatan dan 55 peratus di Amerika Tengah. Kes menurun 5.2 peratus di Caribbean dan 4.5 peratus di Amerika Utara.

PAHO berkata, kematian berkaitan Covid-19 melonjak 14.2 peratus di Amerika Selatan dan menurun di tiga lagi subwilayah di Amerika.

Related posts

Leave a Comment