Penduduk dunia 8 bilion 15 Nov. ini

NEW YORK 11 Julai – Penduduk dunia dijangka mencapai angka lapan bilion pada 15 November depan, manakala India dijangka melepasi China sebagai negara berpenduduk paling ramai pada 2023.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata jumlah penduduk keseluruhan itu menjadi peringatan bahawa semua bertanggungjawab bersama bagi menjaga bumi.

“Ini harus dijadikan wadah mencermin diri untuk melihat kekurangan yang ada pada kita bagi memenuhi komitmen antara satu sama lain.

“Ini adalah kesempatan untuk meraikan kepelbagaian, mengiktiraf kemanusiaan dan mengagumi kemajuan dalam kesihatan yang memanjangkan jangka hayat dan secara mendadak mengurangkan kadar kematian ibu serta anak,” katanya.

Laporan ramalan dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Sosial dan Ekonomi PBB itu memaklumkan, penduduk dunia tumbuh pada kadar perlahan sejak 1950.

Ia sepatutnya menghampiri angka 8.5 bilion pada 2030 dan 9.7 bilion pada 2050 serta 10.4 bilion pada 2080 sebelum mendatar pada kadar itu sehingga 2100.

Menurut laporan itu lagi, walaupun penurunan dalam kadar kelahiran dapat dilihat di beberapa negara membangun, lebih separuh daripada ramalan kenaikan jumlah penduduk dunia dalam dekad akan datang tertumpu di lapan negara.

Negara terbabit adalah Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Tanzania.

Related posts

Leave a Comment