Majoriti LDP pimpinan PM Jepun meningkat

TOKYO: Pembunuhan Shinzo Abe meningkatkan sokongan terhadap parti pemerintah terutama di kawasan panas apabila majoriti kerajaan gabungan konservatif Jepun di Dewan Negara meningkat menerusi pilihan raya semalam.

Parti Liberal Demokratik  (LDP) pimpinan Perdana Menteri, Fumio Kishida dan rakan kongsi muda, Komeito, memenangi 76 daripada 125 kerusi yang dipertandingkan berbanding hanya 69 sebelum ini.

LDP memenangi 63 kerusi, meningkat berbanding 55 sebelum ini, sekali gus memperoleh majoriti kerusi, namun belum cukup untuk mendapat majoriti keseluruhan.

Pilihan raya bagi Dewan Negara lazimnya menjadi referendum kepada kerajaan yang memerintah tetapi ia tidak mempengaruhi pertukaran kerajaan, yang ditentukan menerusi majoriti di Dewan Rakyat.

Hasil pilihan raya itu berupaya membantu Kishida menyatukan pentadbirannya ketika beliau berusaha mengemudi pemulihan Jepun daripada wabak Covid-19, mengawal kenaikan harga barang dan memperkasakan pertahanan ketika berdepan ketegangan dengan China.

“Adalah penting bagi kami berdepan pilihan raya ini ketika keganasan menggoncang asas pilihan raya.

“Ketika ini, kita berdepan isu penting termasuk Covid-19, Ukraine dan inflasi. Solidariti dalam kerajaan dan parti gabungan amat penting,” kata Kishida yang juga anak didik Abe.

Kemenangan itu juga membolehkan Kishida menyemak semula Perlembagaan Jepun yang kini berpendirian agak pasif, sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh Abe walaupun beliau mempelopori usul itu.

Kemenangan semua parti di dewan Negara, yang menyokong semakan semula Perlembagaan Jepun itu, meletakkan usaha Kishida di landasan sepatutnya bagi meraih sokongan dua pertiga yang diperlukan.

Related posts

Leave a Comment