NEW YORK – Selepas bertahun-tahun dilanda peperangan, Gaza memerlukan AS$71.4 bilion untuk proses pembinaan semula dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang dipimpin Amerika Syarikat (AS) mengumumkan anggaran itu semalam di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Kos itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran AS$4 hingga AS$6 bilion yang pernah dikemukakan PBB bagi membina semula Gaza selepas konflik selama 50 hari pada 2014.
Dalam sesi taklimat peringkat tinggi yang turut menampilkan Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, lembaga tersebut membentangkan pelan pemulihan Gaza bagi enam bulan pertama pascakonflik.
Pelan itu merangkumi 66 program utama termasuk penyediaan tempat perlindungan kemanusiaan, bekalan penjana diesel serta pembinaan semula hospital dan kemudahan awam yang musnah akibat peperangan.
Bagaimanapun, pelaksanaan pelan tersebut hanya boleh dimulakan apabila dana mencukupi diperoleh dan akses ke wilayah berkenaan dibenarkan.
Setakat ini, sumber pembiayaan masih belum jelas manakala, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza, iaitu badan teknokrat yang dijangka mentadbir wilayah itu, masih belum memasuki Gaza dan hanya beroperasi dari Kaherah, Mesir.
Dalam kenyataan susulan selepas taklimat berkenaan, Lembaga Keamanan menegaskan, usaha pemulihan itu akan dipimpin sendiri oleh rakyat Palestin.
