2,200 sertai latihan tindak balas bencana

JAKARTA – Kira-kira 2,200 anggota tentera dan pegawai awam dari 19 negara menyertai latihan tindak balas bencana besar-besaran di Banten, Indonesia, latihan terbesar di bawah kerangka Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Pus (ADMM-Plus) dalam tempoh sedekad berdasarkan jumlah peserta.

Latihan Trident Resolve, yang berlangsung dari 20 hingga 26 September, menghimpunkan kesemua 11 negara ASEAN bersama lapan rakan dialog – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat (AS).

Kali terakhir latihan ADMM-Plus membabitkan lebih ramai peserta adalah di Singapura dan Brunei pada 2016, membabitkan kira-kira 3,500 anggota dari 18 negara, selain 18 kapal tentera laut dan 25 pesawat.

Latihan diadakan di tujuh lokasi darat dan kawasan laut bagi menguji keupayaan tentera serta agensi awam dari pelbagai negara bekerjasama menghadapi bencana berskala besar.

Operasi yang diuji termasuk mencari dan menyelamat, pemindahan dan rawatan mangsa, tindak balas terhadap ancaman kimia, biologi dan radiologi serta membaiki prasarana yang rosak.

Senario latihan berdasarkan kejadian gempa bumi yang disusuli letusan Anak Krakatau dan tsunami, menurut pemerintah wilayah Banten.

Banten dipilih kerana kedudukannya yang mempunyai garis pantai panjang, menghadap Selat Sunda serta terdedah kepada risiko aktiviti gunung berapi Anak Krakatau.

Pemilihan senario itu juga mempunyai kaitan rapat dengan risiko sebenar yang dihadapi wilayah berkenaan.

Related posts

Leave a Comment