7 juta disaran ambil dos penggalak

BERA 11 Julai – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menasihatkan kira-kira tujuh juta penduduk Malaysia yang belum mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 agar segera berbuat demikian susulan lonjakan kes baharu ketika ini.

Beliau berkata, walaupun dos penggalak tidak diwajibkan, pengambilannya akan dapat memastikan perlindungan lebih baik daripada jangkitan virus berbahaya itu, terutama dengan kemunculan varian baharu yang lebih mudah menjangkiti.

Ismail Sabri bagaimanapun memberi jaminan kerajaan tidak bercadang menutup semula sektor ekonomi atau sebagainya walaupun kes Covid-19 kembali meningkat.

“Walaupun tiada paksaan, saya nasihatkan mereka yang belum menerima suntikan itu untuk ambil ‘booster’ bagi melindungi diri daripada jangkitan dan jika mempunyai simptom, segera jumpa doktor untuk kepastian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Parlimen Bera 2022 di Masjid Darul Fikri, di sini hari ini.

Perdana Menteri juga memaklumkan, keperluan membuka semula Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam skala besar dengan mengambil kira jumlah mereka yang belum menerima dos penggalak, akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kes harian sudah meningkat melebihi 3,000. Sebelum ini, ada subvarian Omicron BA1 dan BA2, kini ada jangkitan BA5 yang meningkat. Ada kira-kira tujuh juta penduduk di Malaysia belum mengambil dos penggalak dan saya nasihatkan mereka mengambilnya segera,” katanya.

Perdana Menteri meminta rakyat mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga dengan satu daripadanya adalah mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Kehidupan akan berjalan seperti biasa cuma kita perlu mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga termasuk mengambil suntikan dos penggalak,” katanya.

Beliau juga menasihatkan rakyat mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak dijangkiti Covid-19.

“Pelbagai kelonggaran diberikan sejak negara memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu. Contohnya, walaupun tidak lagi wajib pakai pelitup muka di kawasan terbuka, kita boleh ambil inisiatif sendiri untuk melindungi diri jika berada di kawasan yang ramai orang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment