Ikhtiar keagamaan rawat gejala mental

BANDAR SERI BEGAWAN 11 Julai – Umat Islam diingatkan supaya tidak melupakan atau mengabaikan ikhtiar keagamaan dalam merawat gejala mental walaupun telah melalui ikhtiar biasa, titah Sultan Hassanal Bolkiah.

Titah baginda, ikhtiar khusus atau ikhtiar keugamaan ini diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental.

“Apapun yang berlaku, Brunei Darussalam tidak akan berpaling dari Allah. Apa jua situasi mendatang, semuanya itu akan kita hadapi dengan sabar dan dengan ikhtiar-ikhtiar biasa, lebih-lebih lagi dengan ikhtiar keugamaan,” titah baginda.

 

Baginda merujuk ancaman wabak dan musibah silih berganti, yang mendorong beberapa badan tertentu dan juga pakar-pakar memberi amaran, tentang wujudnya kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal.

 

Menurut baginda, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengingatkan bahawa: hampir satu billion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda mengalami gangguan kesihatan mental.

 

Melalui titah perutusan Hari Raya Aidiladha kelmarin, baginda menegaskan gangguan mental boleh berlaku apabila  hati tidak tenang atau takut melampau, sehingga memungkinkan penghidapnya memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada pakar mental.

 

“Ini, baharu satu ikhtiar biasa. Tetapi, kita orang Islam ada ikhtiar khusus yang namanya ikhtiar keugamaan, yang diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental.

 

“Mengapa kita menyakininya demikian itu? Kerana ikhtiar keugamaan itu adalah datangnya dari Allah sendiri sebagai ‘petunjuk’. Sesungguhnya petunjuk Allah itu, semuanya adalah lurus dan benar belaka,” titah baginda.

Titah baginda,  di dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28, Allah berfirman, tafsirnya: “Orang-orang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenang tenteram (sihat) ialah dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (sahaja) hati-hati manusia menjadi tenteram.”

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah, ialah berzikir dengan hati dan berlafaz dengan lidah dengan menyebut, seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, berdoa, berselawat dan membaca Al-Quran.

Justeru sempena Aidiladha, baginda mengajak rakyat Brunei Darussalam memeriahkan negara, terutama dengan takbir, tasbih dan tahmid serta lain-lain lagi unsur Zikir.

 

“Semoga dengan itu, semua musibah akan terdinding dan gejala mental juga, jika ada, akan terubat,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment