Rajapaksa letak jawatan Presiden Sri Lanka

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, bersetuju meletak jawatan semalam, beberapa jam selepas kediamannya diserbu sekumpulan penunjuk perasaan.

Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, dalam satu kenyataan menerusi televisyen berkata, bagi memastikan peralihan secara aman, presiden memaklumkan beliau akan berundur pada 13 Julai.

Difahamkan pemimpin itu sudah menaiki kapal laut di pelabuhan Colombo dan dibawa ke perairan selatan pulau itu.

Kumpulan penduduk yang berang berhimpun dan menghambat pemimpin berkenaan dari kediamannya, ekoran kecewa kerana negara itu berdepan krisis ekonomi terburuk sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Ratusan ribu rakyat berkumpul di ibu negara Colombo sejak kelmarin untuk menuntut kerajaan bertanggungjawab kerana didakwa terbabit dalam salah urus kewangan negara yang turut menyebabkan kekurangan teruk makanan dan bahan api.

Selepas menyerbu pagar istana presiden, sekumpulan penunjuk perasaan berjalan melalui biliknya dengan beberapa orang lagi dilihat melompat ke dalam kolam renang di kediamannya.

Penunjuk perasaan yang lain dilihat ketawa dan bersantai di bilik tidur mewah kediaman itu, dengan salah seorang daripada mereka mendakwa memegang seluar dalam Rajapaksa.

Rajapaksa terpaksa dikeluarkan dari kediamannya oleh sekumpulan tentera yang melepaskan tembakan ke udara bagi menghalang rempuhan orang ramai yang berkumpul di luar kediamannya.

Tidak lama selepas istana presiden diserbu, pejabat pemimpin itu yang terletak berdekatan kediamannya turut jatuh ke tangan penunjuk perasaan.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik dan memberitahu beliau sedia berundur untuk membuka jalan kepada kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, ia gagal menenangkan penunjuk perasaan yang turut menyerbu kediaman peribadi perdana menteri dan bertindak membakarnya malam tadi.

Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai bersorak susulan kebakaran yang berlaku, sejurus selepas pihak keselamatan yang mengawal Wickremesinghe menyerang beberapa wartawan di luar rumah.

Related posts

Leave a Comment