Siasat latar belakang pembunuh Abe

KASHIHARA: Polis sedang menyiasat latar belakang penganggur berusia 41 tahun yang mengaku telah membunuh mantan Perdana Menteri Shinzo Abe.

Ini termasuk dakwaan bahawa lelaki itu pernah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Maritim Jepun, iaitu angkatan tentera laut Jepun.

Lelaki itu yang dipercayai menggunakan senapang buatan sendiri mengaku membunuh Abe, didorong oleh kepercayaan mantan Perdana Menteri itu ada kaitan dengan sebuah pertubuhan yang namanya tidak didedahkan. 

Pembunuhan tokoh politik paling terkenal di Jepun itu menggemparkan negara tersebut dan juga dunia, lebih-lebih lagi Jepun mencatatkan paras jenayah ganas yang rendah dan menguatkuasakan undang-undang senjata yang ketat. 

Ketika ditembak, Abe sedang menyampaikan ucapannya menjelang pilihan raya dewan tinggi dan kempen pilihan raya itu disambung semula pada Sabtu, 9 Julai.

Sementara itu, mayat Abe dibawa ke Tokyo dari bandar Nara di barat Jepun, di mana beliau ditembak.

Sejurus sebelum pukul 6 pagi waktu tempatan, sebuah kereta mayat yang membawa balu Abe, Akie, meninggalkan hospital di Kashihara, barat Jepun di mana mendiang dirawat. 

Para doktor di Hospital Universiti Perubatan Nara pada Jumaat berkata tiada denyutan jantung dikesan pada Abe semasa beliau tiba di hospital berkenaan dan meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak meskipun pemindahan darah sudah dilakukan. 

Mereka juga menggambarkan pelbagai kesan luka pada bahagian leher perdana menteri itu, dengan kesan tembakan itu sampai ke jantungnya.

Related posts

Leave a Comment