LONDON: Ketika Boris Johnson menegaskan untuk terus kekal dalam jawatan sehingga penggantinya dipilih, bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak, menawarkan diri sebagai pemimpin Konservatif dan Perdana Menteri Britain yang baharu.
Sunak, 42 meletak jawatan sebagai Canselor Perbendaharaan Selasa lalu, yang mendorong puluhan lagi rakan lain mengikuti jejak langkahnya dan dalam tempoh 36 jam berikutnya, tekanan memuncak sehingga Johnson meletakkan jawatan.
Adalah dijangka 12 orang ahli Parlimen menunjukkan minat untuk jawatan itu termasuk Penny Mordaunt, 49, Setiausaha Pertahanan, Ben Wallace, 52, dan Setiausaha Luar, Liz Truss, 46.
Menjelang kempen, Sunak ‘memperkenalkan’ diri dan keluarga serta kelayakan kepemimpinannya melalui video di media sosial dan berikrar membina semula kepercayaan antara rakyat Britain dan kerajaan mereka.
“Mari kita memulihkan kepercayaan, membina semula ekonomi dan menyatukan semula negara,” kata Sunak.
Jadual pemilihan dijangka diadakan pada Isnin ini, dengan pemenang ditetapkan dalam persidangan tahunan parti pada awal Oktober.
Sunak adalah antara pendahulu bagi jawatan tertinggi itu dan mendapat sokongan daripada beberapa ahli Parlimen kanan serta mendahului tinjauan terbaru ahli parti yang akan memilih pemimpin mereka seterusnya.
Menurut tinjauan pendapat Opinium bagi rangkaian Berita 4, Sunak menjadi pilihan utama bagi suku responden, diikuti Liz Truss sebanyak 21 peratus dan Ben Wallace, 12 peratus.
Bagaimanapun Truss dan Wallace masih belum mengisytiharkan mereka akan bertanding bagi merebut jawatan itu.
Ahli Parlimen Konservatif, Tom Tugendhat dan Peguam Negara, Suella Braverman, juga sudah mengumumkan pencalonan mereka secara rasmi.
Sumber rapat kepada bekas Setiausaha Kesihatan dan Luar Negeri Jeremy Hunt, yang tewas kepada Johnson pada 2019, memberitahu media Britain bahawa Hunt hampir pasti akan bertanding semula.
Berikutan hampir 60 peletakan jawatan, Johnson sudah mengumpulkan pasukan baharu untuk memerintah sementara, dengan mengumumkan pelantikan barisan Kabinet baharu semalam.
Menurut Downing Street, pada mesyuarat tergempar pertama menteri kanan Khamis lalu, Johnson mengesahkan statusnya yang pincang dengan menyatakan ‘keputusan fiskal utama harus diserahkan kepada perdana menteri yang baharu’.