Lelaki ‘ugut’ PM Lee diberkas

SINGAPURA 9 Julai – Polis Singapura menahan seorang lelaki berusia 45 tahun semalam selepas disyaki terlibat dalam menghasut keganasan melalui media sosial terhadap Perdana Menteri Lee Hsien Loong. 

Menurut satu kenyataan, pihak polis menerima aduan sekitar pukul 3.10 petang Jumaat mengenai ugutan yang menghasut keganasan terhadap Lee. 

Ugutan itu dikesan dalam ruangan komen Facebook Channel NewsAsia (CNA) mengenai catatan berhubung penembakan mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe. 

Menerusi siasatan susulan yang dijalankan, para pegawai dari Divisyen Central Polis berjaya mengenal pasti identiti pengguna Facebook tersebut. 

Lelaki itu diberkas dalam masa lima jam setelah aduan dibuat, dan polis merampas komputer riba, tablet dan empat telefon bimbit. 

Polis masih meneruskan siasatan dan mengingatkan sesiapa sahaja yang disabitkan dengan kesalahan membuat atau menyampaikan sebarang rekod elektronik yang mengandungi sebarang hasutan kepada keganasan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali. 

“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kegiatan yang menghasut keganasan di Singapura,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment