Jangkitan Covid-19 dijangka meningkat

KUALA LUMPUR 8 Julai – Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dijangka meningkat di negara ini disebabkan penularan sublineage Omicron BA.4 dan BA.5, terutama oleh BA.5 yang setakat ini menjadi versi virus Covid-19 paling mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Omicron BA.5 lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2.

Beliau berkata, di peringkat global, sublineage BA.4 menunjukkan kadar peningkatan daripada 11 peratus pada minggu epidemik 24 bagi 2022 kepada 12 peratus pada minggu epdemik 25, manakala sublineage BA.5 menunjukkan peningkatan dari 37 peratus ke 52 peratus.

“Kita jangka BA.5 akan terus meningkatkan jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia. Setakat ini, kita lihat juga, BA.5 bukan sahaja versi paling mudah merebak, malah ia juga mempunyai ciri untuk menjangkiti mereka yang dijangkiti Omicron, maknanya ia ada `immune escape’.

“Jika seseorang itu sudah dijangkiti Omicron, dia boleh dijangkiti semula dengan BA.5. Sebab itu, kita dengar banyak kes orang yang dijangkiti semula dalam masa yang singkat,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, sehingga 30 Jun lalu, terdapat 13 kes sublineage Omicron yang sedang dipantau rapi, membabitkan enam kes BA.2.12.1, lima kes BA.5 dan dua kes BA.5.2, yang semuanya didapati positif di antara Mei dan Jun lalu.

Mengenai keterukan penyakit akibat BA.5, Khairy berkata, buat masa ini, KKM tidak melihat perubahan dari segi keterukan kes dan beliau dimaklumkan pakar, kemungkinan besar keterukan berkenaan lebih kurang sama dengan Omicron sebelum ini.

Selain itu, Khairy memaklumkan, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan untuk lima hari pertama dalam minggu epidemik 27 (3 hingga 7 Julai 2022) menunjukkan peningkatan sebanyak 31 peratus, berbanding kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama pada minggu epidemik 26, iaitu daripada 11,394 kes kepada 14,967 kes.

Jumlah kemasukan pesakit harian baharu Covid-19 yang dilaporkan untuk lima hari pertama dalam minggu epidemik 27 menunjukkan peningkatan sebanyak 13.7 peratus, berbanding jumlah pesakit yang dilaporkan untuk tempoh sama pada minggu epidemik 26, iaitu daripada 835 pesakit kepada 968 pesakit..

Related posts

Leave a Comment