Singapura hampiri kemuncak gelombang

SINGAPURA 5 Julai – Jumlah kes harian Covid-19 di Singapura yang direkodkan hari ini sudah menghampiri, atau sudah pun berada di kemuncak gelombang jangkitan Covid-19 terkini, kata Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung.

Beliau memberitahu Parlimen bahawa bilangan kes melepasi 12,000, sekitar 10 peratus lebih tinggi daripada minggu lalu adalah satu peningkatan yang “lebih tinggi sedikit”.

Singapura hari ini merekodkan 12,784 kes baharu Covid-19 iaitu kenaikan sekali ganda daripada 5,946 kes semalam.

“Ada tanda-tanda bahawa kita hampir mencapai kemuncak, jika tidak di kemuncak, dan kita harus lega kerana bilangan minggu ini tidak meningkat dua kali ganda daripada minggu lalu. Jika tidak, kita akan berada pada 24,000 atau 22,000 (kes) minggu ini,” kata Ong.

Beliau berkata gelombang kali ini, yang disebabkan oleh subvarian Omicron BA.4 dan BA.5, tidak seteruk gelombang Omicron awal tahun ini, kerana lebih ramai penduduk mendapat imuniti lebih kuat sama ada melalui suntikan vaksin penggalak atau pemulihan daripada jangkitan.

Menjawab soalan Anggota Parlimen (AP), Ong berkata, Singapura bergantung kepada dua strategi iaitu memastikan perlindungan vaksin dan penggalak yang tinggi, serta memastikan kemudahan serta institusi penjagaan kesihatan bersedia untuk menambah kapasiti sekiranya terdapat kemasukan yang bertambah.

Beliau berkata, hospital, doktor perubatan umum (GP) dan institusi penjagaan kesihatan lain bersedia untuk menyokong kapasiti penjagaan kesihatan di sini bagi menghadapi gelombang akan datang.

Hospital juga bersedia menambah kapasiti katil pengasingan dan unit penjagaan rapi khusus sekiranya terdapat peningkatan dalam bilangan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan ke hospital.

Menurut Ong,  jumlah kemasukan ke hospital akibat Covid-19 di sini telah mencecah hampir 700, walaupun ini kekal di bawah sekitar 1,700 kes semasa gelombang Omicron awal tahun ini.

Katanya, bilangan katil yang mencukupi telah dikekalkan di Kemudahan Rawatan Covid-19 (CTF) untuk menguruskan kes serius tetapi tidak memerlukan penjagaan hospital.

Sekitar 25 peratus daripada 1,300 katil di CTF kini telah diisi, dan dengan hospital awam terus menghadapi permintaan tinggi.

Bagi memastikan kebanyakan kes Covid dapat terus diuruskan di luar hospital, semua poliklinik dan 103 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) yang mengambil bahagian boleh, setakat 30 Jun, memberi ubat antivirus seperti Paxlovid kepada mereka yang layak.

Related posts

Leave a Comment