Banjir : PM arah bantuan segera

PUTRAJAYA 5 Julai – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa sedih dan simpati dengan bencana banjir di Baling, Kedah yang mengakibatkan tiga nyawa disahkan terkorban setakat ini.

Beliau yang kini dalam lawatan rasmi di Turkiye, menegaskan walaupun berada di luar negara, beliau sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

“Saya mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye,” katanya melalui Facebooknya.

Beliau juga sudah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini. Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

(Setiausaha Politik Perdana Menteri, Mohammad Anuar Mohd Yunus (jaket biru) turun ke lokasi bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan secepatnya kepada mangsa. – FB ISMAIL SABRI YAAKOB)

Related posts

Leave a Comment