18 kematian, 1,995 kes baharu Thailand

BANGKOK 4 Julai – Sebanyak 18 lagi kematian direkodkan hari ini akibat Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 30,718 orang sejak pandemik bermula.

Pada masa yang sama, sebanyak 1,995 kes baharu dilaporkan termasuk dua import berbanding 2,328 kes sebelumnya yang membawa kepada jumlah keseluruhan 4,532,100 kes.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19, jumlah kes tidak termasuk 1,609 kes positif hasil ujian antigen yang jika digabungkan membawa kepada 3,604 kes.

Setakat semalam (Ahad), sebanyak 24,818 orang mendapatkan rawatan Covid-19 termasuk 10,038 di hospital manakala 1,113 lagi di hospital lapangan dan 13,658 di rumah atau pusat pengasingan komuniti..

Daripada jumlah yang dirawat di hospital, sebanyak 677 dalam keadaan serius di mana 291 lagi bergantung kepada bantuan ventilator.

Kes kematian pula melibatkan mereka yang berumur antara 28 hingga 101 tahun manakala jumlah kes sembuh meningkat kepada 4,476,564 orang apabila  2,148 lagi dilaporkan pulih.

Sementara itu, subvarian Omicron, BA.4 dan BA.5, menyumbang 50 peratus kadar jangkitan Covid-19 pada minggu lalu dan dijangka menjadi dominan di Thailand, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan, Dr Supakit Sirilak berkata, varian Omicron menyumbang 100 peratus kadar jangkitan sejak tujuh hari lalu dan hingga kini, kira-kira 1,000 kes disahkan membabitkan subvarian BA.4 dan BA.5.

“Kebanyakan kes dilaporkan di Bangkok. Subvarian BA.4 dan BA.5 akan menggantikan subvarian lain secara beransur-ansur,” katanya

Sementara itu Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha, mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam bersiap sedia menangani peningkatan kes dan kluster baharu Covid-19 berikutan dua subvarian berkenaan merebak dengan pantas.

Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana, berkata Perdana Menteri turut menggesa rakyat supaya mematuhi semua langkah pencegahan dalam usaha membendung penularan.

Perdana Menteri juga menggesa orang ramai mendapatkan suntikan penggalak secepat mungkin.

Related posts

Leave a Comment