Tuntutan jawatan TPM tidak wajar

KUALA LUMPUR 3 Julai – Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau menambah lagi menteri baharu tidak sepatutnya timbul dalam tempoh sukar ketika ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berpandangan anggota Kabinet sepatutnya bersolidariti dengan rakyat yang sedang kesempitan, dengan memotong elaun menteri, timbalan menteri, pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan duta khas bertaraf menteri.

“Ini bukan masanya untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri ataupun menambah lagi menteri baharu, cukuplah yang ada sekarang dengan rekod jumlah menteri terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang sanggup menuntut jawatan Kabinet tambahan, ketika rakyat gelisah berdepan kenaikan harga barang selain kewangan kerajaan berdepan tekanan untuk memberi subsidi kepada rakyat.

Katanya, ketika rakyat susah dan gelisah menghadapi kenaikan harga barang yang mendadak, kantong kerajaan yang menipis hingga pelbagai subsidi untuk rakyat hendak dikaji balik, seharusnya tuntutan untuk menambah lagi jawatan menteri Kabinet tidak harus timbul.

“Malah untuk menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun menteri, timbalan menteri, pengerusi MPN, duta khas bertaraf menteri wajar dipotong,” katanya.

Semalam, Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin memaklumkan berjumpa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu, khususnya Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan kepada PN.

Related posts

Leave a Comment