Tipu jual kad data maklumat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Mohd Arshad Abdul Mualap dituduh di Mahkamah Shah Alam pagi ini selepas terbabit dalam aktiviti penipuan penjualan kad program pengumpulan data maklumat dokumentasi orang tiada kewarganegaraan.

Mohd Arshad, 46, dan seorang lagi individu Mohamad Amkah Ahmad, 48, ditahan di Subang Jaya, pada 22 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin, berkata kedua-dua mereka dipercayai menipu orang tiada warganegara dengan menawarkan kad data dilengkapi pengimbas kod QR sejak awal tahun ini.

Setakat ini kad data berkenaan dijual antara harga RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

“Kedua-dua suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman.

Hamzah berkata, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad pengenalan.

“Justeru saya meminta mana-mana pihak terutama kepada mana-mana individu bukan warganegara supaya tidak tertipu dengan taktik sebegini.

“Kita tidak menolak kemungkinan Mohd Arshad yang mendaftarkan parti pada tahun 2017 dan menjadikan dirinya sebagai Presiden menggunakan parti untuk mendapatkan kepentingan dirinya sendiri dan melakukan kegiatan penipuan ini,” katanya.

Hamzah menerima maklumat mengenai kegiatan penipuan itu daripada individu bukan warga Malaysia ketika berada di luar negara sebelum membincangkannya dengan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

“Susulan itu Ketua Polis Negara, mewujudkan satu pasukan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor dan Bukit Aman yang kemudiannya melakukan serbuan ini dan menahan suspek,” katanya.

Sebarang urusan permohonan Kad Pengenalan, hanyalah melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan hanya empat jenis kad pengenalan yang disahkan.

Kad pengenalan itu adalah kad pengenalan MyKad untuk semua warganegara Malaysia (biru); kad pengenalan Pemastautin Tetap (merah); kad pengenalan warga asing yang bekerja di Malaysia (hijau) dan kad pengenalan (coklat) untuk mereka yang melakukan kesalahan besar.

Related posts

Leave a Comment