Ambil peluang kemelut UMNO

JOHOR BAHRU 30 Jun – Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil peluang mengukuh kedudukan dan menarik sokongan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berikutan keadaan UMNO yang kini berpecah-belah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata ketika ini peluang terbuka kepada parti pembangkang termasuk PH untuk mengatur langkah dan strategi bagi menghadapi PRU-15.

“PH boleh sahaja jadi penonton, bersorak-sorai ketawa terbahak-bahak melihat keadaan UMNO. Namun PH perlu mengambil inisiatif menggembleng kekuatan positif yang masih ada dalam kalangan parti pembangkang dengan menyaring dan menyisih elemen-elemen negatif dalam kalangan mereka.

“Ini demi membina kerjasama pilihan raya (electoral understanding). PH perlu kembali kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan mereka. Kemukakan buah fikiran, idea, cadangan dan agenda perubahan yang tulen, bukan retorik.

Percayalah kepada rakyat. Mereka mahukan perubahan dan harapan yang menjamin nasib masa depan mereka serta anak-cucu mereka. Mungkin sekarang ini terbuka peluang kedua bagi PH untuk mendapatkan semula mandat menyelamatkan rakyat dan Malaysia tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor mendakwa selepas pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman mengenai Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu, UMNO kini semakin berpecah dan menanti belah.

Katanya, Ahmad Zahid juga sudah hilang apa juga integriti yang ada sebagai seorang pemimpin politik akibat daripada pendedahan itu, begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

“Najib pula ‘de facto’ pemimpin UMNO yang ingin membuat ‘come back’ menjadi bos di Putrajaya sekali lagi sudah menjadi liabiliti kepada UMNO. Najib mungkin berjaya melengah-lengahkan perbicaraan kesnya di mahkamah dengan pelbagai permohonan interlokutori tetapi Najib gagal untuk mendapatkan kepercayaan rakyat lagi.

“Tiada rakyat di sesebuah negara yang berdaulat dan bermaruah mahukan pemimpin yang boleh disifatkan ‘seperti tikus untuk memperbaiki labu’,” katanya.

Beliau berkata, UMNO kini hanya tinggal Ismail Sabri Yaakob yang boleh diharap untuk menjadi ‘poster boy’ bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.

Sementara itu, Hassan percaya, masih terdapat pemimpin UMNO yang baik seperti Ismail Sabri terutama imej Ahli Parlimen Bera itu yang masih kelihatan bersih jika dibandingkan dengan watak-watak dalam kluster mahkamah.

Katanya, mungkin sebab itu PH sudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan apabila Ismail Sabri menjadi wakilnya.

Related posts

Leave a Comment