Hari Raya Aidiladha pada Ahad

KUALA LUMPUR 29 Jun – Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad, 10 Julai susulan tarikh 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada Jumaat ini.

Perkara itu diumumkan Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman , selepas aktiviti cerapan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1443 Hijrah ialah pada Jumaat, 1 Julai 2022.

“Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 10 Julai 2022,” katanya menerusi pengumuman yang disiarkan malam ini.

Indonesia juga menetapkan 1 Zulhijah 1443 Hijrah jatuh pada 1 Julai 2022.

Keputusan itu disampaikan oleh Wamenag Zainut Tauhid di Pejabat Kementerian Agama Republik Indonesia pada Rabu.

“Dari 86 titik tidak ada satu yang melaporkan melihat hilal sebagaimana yang dilaporkan oleh karenanya berdasarkan hisab posisi hilal seluruh wilayah Indonesia sudah di atas ufuk. Akan tetapi belum memenuhi MABIMS serta laporan hilal juga tidak terlihat. Secara mufakat 1 Zulhijah jatuh pada hari Jumat tanggal 1 Juli 2022,” kata Wamenag Zainut Tauhid.

Sementara itu Brunei Darussalam juga mengumumkan perkara yang sama di mana sambutan Hari Raya Aidiladha juga jatuh pada hari Ahad.

Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir juga mengumumkan perkara yang sama iaitu 1 Zulhijah jatuh pada 1 Julai 2022.

“Ini bermakna hari Arafah jatuh pada Sabtu, 9 Julai dan Hari Raya Aidiladha jatuh pada Ahad, 10 Julai 2022,” katanya.

Related posts

Leave a Comment