Sembilan kes baharu

PUTRAJAYA: Sembilan kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini, 1 Ogos berbanding 12 semalam dengan tujuh daripadanya adalah kes import dan dua lagi penularan tempatan.

Kes import itu turut melibatkan lima warganegara tempatan manakala kes penularan tempatan masing-masing seorang warga tempatan dan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kini 8,985 kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 213 kes.

Kes penularan dalam negara yang membabitkan warganegara adalah di negeri Kedah. Kes itu daripada Kluster PUI Sivagangga.

Bagi kes bukan warganegara pula adalah di negeri Selangor dan kes itu daripada Kluster Bukit Tiram.

Terdapat tiga kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 8,647 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan satu daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian menjadikan jumlah kumulatif maut akibat wabak itu kekal sebanyak 125 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengenai satu kes baharu melibatkan kluster Bukit Tiram hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia merupakan kes pertama kluster itu yang dikesan di luar Johor.

Kes positif yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-8,977) merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,893 (Kluster Bukit Tiram) dari negeri Johor.

Melalui siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif, kes ke-8,893 didapati pernah menginap di rumah kes ke-8,977 dari 16 Julai sehingga 19 Julai lepas di Selangor.

Selepas kes ke-8,977 dikenal pasti, individu itu diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.

Ujian saringan kali kedua dijalankan apabila kes ke-8,977 mengalami gejala batuk dan sakit tekak, seterusnya disahkan positif dan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sehingga hari ini, seramai 135 orang telah disaring bagi kluster Bukit Tiram dan daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes termasuk empat bukan warganegara dikesan positif Covid-19, sementara 124 lagi negatif serta satu masih menunggu keputusan. 

Related posts

Leave a Comment